GUA ASHABUL KAHFI
7 PEMUDA ASHABUL KAHFI
Kisah
Ashabul Kahfi (أصحاب الكهف)
merupakan suatu kisah benar mengenai 7 orang pemuda yang tertidur di dalam
sebuah gua. Di dalam Al-Quran, dari ayat 9 hingga 26; Surah Al-Kahfi diceritakan
kisah beberapa orang pemuda beriman yang telah melarikan diri ke sebuah gua dan
bagaimana Allah سبحانه وتعالى
tidurkan mereka selama 309 tahun.
Jika difikir secara
logik akal, maka kisah dan cerita tentang Ashabul Kahfi termasuk
suatu kejadian pelik, luar biasa dan menakjubkan. Tiada manusia yang dapat
menjelaskan bagaimana ada orang yang boleh tidur sehingga ratusan tahun tanpa
makan dan minum. Namun bagi orang yang beriman dan meyakini Allah سبحانه
وتعالى
bahawa tiada yang mustahil jika Allah سبحانه
وتعالى
mengkehendakinya demikian.
Allah سبحانه
وتعالى
berfirman;
أَمْ
حَسِبْتَ
أَنَّ
أَصْحَابَ
الْكَهْفِ
وَالرَّقِيمِ
كَانُوا
مِنْ
آيَاتِنَا
عَجَبًا
﴿٩
“Adakah kamu menyangka
(wahai Muhammad), bahawa kisah ‘Ashabul Kahfi’ (penghuni gua) dan ‘Ar-Raqiim’
termasuk antara tanda-tanda kekuasaan Kami yang menakjubkan?” (Surah
Al-Kahfi; Ayat 9)
Dimanakah Terletaknya
Gua Ashabul Kahfi
Telah menjadi perdebatan
daripada zaman berzaman mengenai gua dan tempat persembunyian Ashabul
Kahfi. Banyak tempat mendakwa dimana berlakunya kisah ini seperti di Gua di
Jabal Qassiyyun, Syria dan Gua di Ephesus (Tarsus), Turki. Namun Gua
Ashabul Kahfi (Kahf Ahlil Kahf)yang terletak di Abu Alanda, kira-kira 7 km
dari pusat bandar Amman, Jordan, merupakan lokasi sejarah yang lebih menepati
ciri-ciri yang dikisahkan di dalam Al-Quran.
Kawasan ini suatu ketika
dahulu dikenali sebagai ‘Ar-Raqim’ kerana terdapat kesan tapak
arkeologi yang bernama Khirbet Ar-Raqim di kawasan tersebut.
Perkataan ‘Ar-Raqim’ juga disebut di dalam Al-Quran dan Ahli Tafsir
menafsirkan ‘Ar-Raqim’ sebagai nama anjing dan ada menyatakannya
sebagai batu bersurat.
Walau bagaimanapun,
Allah سبحانه وتعالى
tidak menunjuk dan menyatakan dengan jelas di mana tempat sebenar mereka
bersembunyi. Sebab utamanya adalah kerana ia tidak memberi manfaat bagi umat
Islam kerana Allah سبحانه وتعالى
hanya mahu hamba-Nya mengambil iktibar kisah pejuangan tujuh pemuda mempertahankan
akidah mereka.
.
Namun begitu berdasarkan
ayat 17 surah Al-Kahfi, dapat kita ketahui kedudukan
sebenar pintu gua yang menjadi tempat persembunyian ketujuh-tujuh pemuda
tersebut berada di sebelah utara.
Firman Allah سبحانه
وتعالى;
وَتَرَى
الشَّمْسَ
إِذَا
طَلَعَت
تَّزَاوَرُ
عَن
كَهْفِهِمْ
ذَاتَ
الْيَمِينِ
وَإِذَا
غَرَبَت
تَّقْرِضُهُمْ
ذَاتَ
الشِّمَالِ
وَهُمْ
فِي
فَجْوَةٍ
مِّنْهُۚ
ذَٰلِكَ
مِنْ
آيَاتِ
اللَّـهِۗ
مَن
يَهْدِ
اللَّـهُ
فَهُوَ
الْمُهْتَدِۖ
وَمَن
يُضْلِلْ
فَلَن
تَجِدَ
لَهُ
وَلِيًّا
مُّرْشِدًا
﴿١٧
“Dan kamu akan melihat
matahari ketika terbit, condong ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia
terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam
tempat yang luas dalam gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang
membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah,
maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya
maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat
menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 17)
Kisah Pembuktian
Ashabul Kahfi bukanlah
kisah epik jenaka, dongeng atau suatu cerita rekaan manusia. Sejarah kejadian
tersebut sebenarnya mempunyai hubungan erat dengan kegelisahan Nabi Muhammad ﷺ.
Iaitu semasa ditanya oleh beberapa orang Yahudi untuk membuktikannya bahawa
Baginda memang seorang Nabi Utusan Allah سبحانه
وتعالى.
Orang-orang Yahudi
bertanya Rasulullah ﷺ, “Wahai Muhammad!
Tolong ceritakan kepada kami tentang kisah 7 pemuda yang rela mengasingkan diri
untuk mempertahankan keyakinannya kepada Allah سبحانه
وتعالى.
Jika engkau sanggup menceritakan dengan benar, maka kami juga akan mengikuti
ajaranmu dan menjadi sebahagian daripada orang Islam.”
Lalu Nabi Muhammad ﷺ
memohon pertolongan pada Allah سبحانه وتعالى
dan selepas 15 hari kemudian baginda mendapat wahyu tentang penjelasan kisah
Ashabul Kahfi atau cerita mengenai 7 pemuda yang ditanyakan oleh orang Yahudi
tersebut. Penjelasan mengenai kisah Ashabul Kahfi ini terdpat pada Surah Kahfi
mulai ayat 9 hingga 26, di dalam kitab suci Al-Quran.
Kisah ashabul kahfi
Sebagaimana yang telah dikisahkan
turun-temurun. Pada asalnya penduduk sebuah negeri itu beriman kepada Allah سبحانه
وتعالى
dan beribadat mengEsakanNya. Namun keadaan berubah selepas kedatangan seorang
raja bernama Diqyanus (Decius).
Raja kufur dari Rom ini, memerintah
secara kejam dan kuku besi. Sesiapa yang menentang keinginan raja, maka samalah
seperti ingin mengakhiri hidupnya lebih awal. Dia memaksa rakyat di bawah
pemerintahannya supaya murtad dari agama Allah سبحانه وتعالى
serta bertukar kepada agama kufur dan menyembah batu berhala yang dianutinya.
Rakyat yang takut dengan ancaman dan seksaan raja tersebut terpaksa akur dengan
arahan yang zalim itu.
Dalam pada itu terdapat sekumpulan
pemuda beriman enggan tunduk dengan tekanan Raja Diqyanus yang kafir. Di
tengah-tengah kekufuran raja, bangsa dan kaum mereka, kesemua tujuh pemuda
tersebut secara sembunyi-sembunyi tetap beriman kepada Allah سبحانه
وتعالى.
Mereka teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri
mereka mungkin terancam dengan berbuat demikian.
Pengesahan keberimanan pemuda-pemuda
ini dinyatakan oleh Allah سبحانه وتعالى
dalam firmanNya;
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣
“Kami ceritakan kepadamu
(wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; Sesungguhnya mereka itu adalah
pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka
hidayah petunjuk.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 13)
.
Kepercayaan dan keyakinan 7 pemuda ini
terus bertahan sehingga kemudiannya sampai ke pengetahuan raja dan akhirnya
mereka dipanggil mengadap Raja Diqyanus.
Di hadapan raja yang zalim itu, mereka
dengan penuh berani dan bersemangat, petah berhujah mempertahankan iman dan
prinsip aqidah yang mereka yakini. Pemuda-pemuda tersebut mengakui bahawa hanya
ada satu Tuhan yang layak disembah dan diminta pertolongan. DIA-lah Allah سبحانه
وتعالى
yang Esa, Yang Maha Menguasai alam beserta isinya yang kekal abadi dan tidak
akan ada sebarang kekurangan, DIA-lah tempat kita meminta pertolongan dalam
susah atau senang, suka mahupun duka.
.
Allah سبحانه وتعالى
berfirman dan menceritakan peristiwa mereka berhujjah;
وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَـٰهًاۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا ﴿١٤﴾ هَـٰؤُلَاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ آلِهَةًۖ لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِم بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍۖ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّـهِ كَذِبًا ﴿١٥
“Dan Kami telah meneguhkan
hati mereka sewaktu mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata
(membentangkan dan menegaskan tauhid): “Tuhan kami adalah Tuhan (yang mencipta
dan mentadbirkan) langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan
selain Dia, sesungguhnya jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami
memperkatakan dan mengakui sesuatu yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami ini
telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa
mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?)
Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan
terhadap Allah سبحانه وتعالى?” (Surah Al-Kahfi;
Ayat 14-15)
.
Raja Decius dan pengikut-pengikutnya
terkejut dan gagal menjawabnya. Walaupun tidak mampu membalas hujah-hujah yang
mantap dari pemuda-pemuda beriman tersebut, raja yang kufur dan zalim itu tetap
berkeras mahu mereka murtad daripada agama mereka.
Raja Diqyanus menggunakan kekuasaan
yang ada padanya untuk mengancam dan memaksa para pemuda meninggalkan agama
mereka, jika dalam tempoh 2 hari para pemuda tersebut gagal membuat demikian
dan tidak mahu mengubah keyakinan mereka dengan segera, maka mereka akan
dimurtadkan secara paksa atau akan dijatuhi hukum mati.
.
Ramai ‘mufassirin’ (ahli tafsir)
generasi salaf dan ‘khalaf’ (generasi awal Islam dan generasi yang terkemudiannya)
yang menyebutkan, para pemuda tersebut terdiri daripada anak-anak raja Rom dan
orang-orang terhormat mereka yang bersatu kerana iman. Mereka tidak takut
dengan ancaman itu dan telah bertekad untuk saling bantu-membantu dan
mempertahankan keimanan mereka hingga titisan darah terakhir. Bagi mereka lebih
baik mati menggenggam iman daripada mengikuti jejak raja yang menyekutukan
Allah سبحانه وتعالى.
.
Oleh kerana sayangkan aqidah dan agama mereka,
pemuda-pemuda tersebut bermesyuarat sesama sendiri untuk mencari satu keputusan
muktamad. Kumpulan pemuda itu akhirnya membuat kesepakatan untuk bersembunyi.
.
Allah سبحانه وتعالى
berfirman ;
وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّـهَ فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًا ﴿١٦
“Dan oleh kerana kamu telah
mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah سبحانه وتعالى, maka pergilah kamu
berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada
kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan
memberi bantuan yang berguna.” (Surah Al-Kahfi; Ayat
16)
Akhirnya mereka memutuskan untuk lari
bersembunyi dan berlindung ke suatu tempat tersorok di kawasan pendalaman.
Berangkatlah mereka bertujuh ke kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di
situ terdapat sebuah gua untuk dijadikannya tempat bersembunyi dan di pintu gua
itulah mereka berdoa sebelum memasukinya.
Allah سبحانه وتعالى
berfirman pada ayat 10, Surah Al-Kahfi;
إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا
“(Ingatkanlah peristiwa)
ketika sekumpulan pemuda pergi ke gua, lalu mereka berdoa :
Menurut para ulama’ Ashabul kahfi
(penghuni gua) yang dimaksudkan dalam ayat di atas, terdiri daripada tujuh
orang pemuda bernama;
- Tamlikha
(تمليخا)
- Maksalmina
(مكسلمينا)
- Marthunus
(مرطونس)
- Nainunus
(نينونس)
- Saryunus
(ساريونس)
- Zunuwanus
(ذونوانس)
- Falyastathyunus
(فليستطيونس)
Dan semasa dalam perjalanan ke gua itu,
ketujuh-tujuh mereka telah ditemani oleh seekor anjing bernama Qithmir (قطمير).
Diriwayatkan juga bahawa Qitmir adalah anjing milik Tamlikha iaitu salah
seorang daripada tujuh orang pemuda tersebut.
Anjing itu turut bersama-sama dengan
mereka berlindung dan bersembunyi di dalam gua tersebut. Oleh kerana keletihan,
ketujuh pemuda ini tertidur sementara si anjing berada di sekitar pintu gua.
Keesokan harinya raja memerintahkan
agar segera membawa para pemuda untuk dihukum mati, tetapi arahan raja kejam
ini menemui kegagalan kerana para pemuda telah menghilangkan diri dan sukar
ditemui. Seluruh rakyat dikerahkan untuk mencari para pemuda yang dianggap
menderhaka itu.
Pencarian
Pencarian pun bermula, mereka diburu
oleh para pembantu setia raja. Mereka bukan sahaja diburu oleh tentera Rom
bahkan turut diberi tekanan oleh penduduk tempatan yang berpegang kuat terhadap
agama nenek moyang mereka. Sesiapa di kalangan mereka yang mampu mencari dan
membawa pemuda-pemuda tersebut ke hadapan, raja telah berjanji untuk memberikan
hadiah dan kenaikan pangkat.
Ada sekumpulan pencari dan pegawai
kerajaan yang akhirnya menemui sebuah gua di kawasan pedalaman. Tetapi oleh
kerana gua itu dianggap sangat menggerunkan, mereka takut untuk memasukinya.
FirmanNya lagi;
وَكَلْبُهُم بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا ﴿١٨
“…dan anjing mereka
menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua. Dan jika kamu melihat mereka,
tentulah kamu akan berpaling melarikan (diri) dari mereka, dan tentulah (hati)
kamu akan dipenuhi rasa gerun takut kepada mereka.” (Surah Al-Kahfi;
Ayat 18)
Demi menyenangkan hati raja, para
pegawai kerajaan melaporkan bahawa mereka telah menyusuri semua tempat di
negeri tersebut dan telah menutup sebuah gua dengan tujuan sekiranya para pemuda
tersebut berada di dalam, maka mereka tidak akan boleh keluar dan akan mati
kelaparan.Itulah batas logik manusia yang
mempunyai kuasa dan merasa paling hebat berbanding dengan yang lain, padahal
kita semua mengetahui bahawa terdapat suatu kekuatan yang tidak mungkin boleh
ditakluki oleh kuasa akal dan fikir manusia. Dialah Allah سبحانه
وتعالى yang tak akan membiarkan orang-orang
membuat kerosakan dan penderitaan kepada hamba-hamba yang dikasihiNya.
Jasad Terpelihara
Sementara itu di dalam gua, kesemua
tujuh pemuda tersebut diberi ketenangan dan keselamatan oleh Allah سبحانه
وتعالى. Mereka telah ditidurkan oleh Allah سبحانه
وتعالى dengan nyenyaknya dalam gua tersebut
untuk sekian lama.
Allah سبحانه وتعالى
berfirman tentang mereka di dalam gua;
فَضَرَبْنَا عَلَىٰ آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا ﴿١١
“Lalu Kami tidurkan mereka
dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat
11).
Allah سبحانه وتعالى
ingin menzahirkan bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui
peristiwa ini. Maka Allah سبحانه وتعالى
telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang sangat lama
iaitu selama 309 tahun: tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli kitab / Tahun
Masihi) dan tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu / Tahun Hijrah).
Firman Allah سبحانه
وتعالى;
وَلَبِثُوا فِي كَهْفِهِمْ ثَلَاثَ مِائَةٍ سِنِينَ وَازْدَادُوا تِسْعًا ﴿٢٥
“Dan mereka telah tinggal
tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli Kitab), dan
hendaklah kamu tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi
309 tahun).” (Surah
Al-Kahfi; Ayat25)
Walaupun mereka tidur amat lama dan
tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah سبحانه وتعالى,
badan dan jasad mereka tidak hancur atau rosak. Dengan kuasaNya juga, kedudukan
gua tempat persembunyian ketujuh-tujuh pemuda yang berada di sebelah utara
secara tidak langsung telah memelihara pencahayaan, pengudaraan dan kesegaran
tubuh mereka sepanjang 3 abad itu.
Firman Allah سبحانه
وتعالى;
“Dan kamu akan melihat
matahari ketika terbit, condong ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia
terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam tempat
yang luas dalam gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan
kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah
yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau
tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan
yang benar) kepadanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 17)
.
Allah سبحانه وتعالى
sengaja memberi ilham kepada ketujuh-tujuh pemuda tersebut untuk menemui gua
tersebut sedangkan mereka sendiri tidak mengetahui bahawa Allah سبحانه
وتعالى telah menetapkan aturannya. Bahkan
Allah سبحانه وتعالى menyatakan bahawa;
jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu, nescaya kita tidak akan
percaya bahawa mereka sedang tidur. Maha Suci Allah Yang Maha Bijaksana.
FirmanNya lagi;
“Dan engkau sangka mereka
sedar padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke
sebelah kanan dan ke sebelah kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah),
sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika
kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan
melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan
terhadap mereka.”
(Surah Al-Kahfi; Ayat 18)
Kebangkitan
Masa terus berlalu, zaman pun telah
berganti dari beberapa generasi. Kini kerajaan yang dahulu dipimpin oleh raja
kejam dan musyrik telah berubah menjadi sebuah negeri yang maju dan bebas dalam
menjalani keyakinan agama masing-masing.
Apabila sampai tempoh yang ditetapkan
Allah سبحانه وتعالى (300 + 9 tahun),
mereka pun dibangunkan. Pemuda-pemuda tersebut telah terjaga kerana perut
mereka terasa lapar, dan ketika bangun mereka saling bertanya tentang berapa
lama mereka tertidur. Para pemuda menyangka mereka hanya tertidur dalam masa
sehari atau separuh hari sahaja, tanpa menyedari bahawa mereka telah tidur
dalam jangka masa yang amat lama di dalam gua.
Firman Allah سبحانه
وتعالى;
“Berkatalah salah seorang di
antara mereka: “Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?)”. Mereka menjawab:
“Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari…..”
(Surah Al-Kahfi; Ayat
19)
Atas rasa lapar itu, lalu sebahagian
daripada mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke bandar bagi
mencari sesuatu untuk di makanan. Akhirnya mereka memilih pemuda bernama
Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka melarikan diri dulu
mereka membawa bersama bekalan wang perak.
Firman Allah سبحانه
وتعالى menceritakan cadangan sebahagian dari
mereka itu;
“Maka suruhlah salah seorang
di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perak kamu ini, dan hendaklah
dia lihat manakah makanan yang paling baik (yakni yang bersih dan halal), maka
hendaklah dia membawa makanan itu untuk kamu, dan hendaklah dia berlaku lemah
lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun.
Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, nescaya mereka akan
melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika
demikian nescaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat
19-20)
.
Lihatlah betapa bersihnya hati dan
akhlak mereka. Walaupun dalam keadaan yang cemas dan sukar serta kelaparan,
mereka masih berpesan kepada sahabat mereka yang ditugaskan ke kota mencari
makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang bersih lagi halal. Ini
menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa kepada Allah سبحانه
وتعالى.
Walaupun Allah سبحانه
وتعالى menyatakan dalam ayat di atas bahawa
para pemuda tadi amat berhati-hati dan berjaga-jaga agar jangan diketahui orang
lain kerana mereka menyangka raja yang memerintah negeri masih lagi raja kafir
yang dahulu, namun Allah سبحانه وتعالى telah mentakdirkan
supaya berita tentang mereka diketahui oleh hamba-hambaNya yang lain bagi menunjukkan
akan keagungan kekuasaan dan kehebatanNya.
.
Semasa pemuda-pemuda Ashabul Kahfi itu
dibangkitkan Allah سبحانه وتعالى selepas tidur selama
309 tahun, suasana negeri telah banyak berubah. Kebetulan Raja dan pemerintah
negeri merupakan orang yang beriman kepada Allah سبحانه وتعالى,
begitu juga dengan kebanyakan rakyatnya.
Namun masih terdapat
segelintir rakyat dalam negeri itu yang masih ragu-ragu dan mempertikaikan
tentang kebenaran kiamat; mereka masih ragu-ragu bagaimana Allah سبحانه وتعالى boleh menghidupkan orang
yang telah mati? Apatah lagi yang telah beribu malah berjuta tahun lamanya
dimakan tanah. Maka bertepatanlah masanya Allah سبحانه وتعالى
membangkitkan Ashabul Kahfi pada zaman
tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya yang masih lagi
ragu-ragu.
Firman Allah سبحانه
وتعالى;
“Dan demikianlah Kami
dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahawa janji
Allah سبحانه وتعالى menghidupkan orang mati
adalah benar, dan bahawa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya.” (Surah Al-Kahfi;
Ayat 21)
Pendedahan ini berlaku semasa orang
ramai bertelagah sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati.
Allah سبحانه وتعالى telah mendedahkan
perihal pemuda-pemuda Ashabul Kahfi semasa wakil mereka itu datang ke kota
hendak membeli makanan.
Pemuda yang keluar menuju ke pasar
mencari makanan. Dengan perasaan khuatir dan takut, akhirnya sampai ke kota.
Dia berasa hairan melihat keadaan kota tersebut dan penduduknya yang berubah
sama sekali, tidak seperti ketika ditinggalkan dahulu.
Dalam terpinga-pinga itu, akhirnya
sampai juga dia ke pasar dan menemui salah seorang penjaja makanan. Namun
penjual hairan dan pelik dengan wang yang digunakan oleh pemuda ini. Penduduk
kota yang telah kehairanan melihat keadaan dia dan mereka semakin syak apabila
melihat wang perak yang dibawanya ialah wang yang sudah berzaman tidak
digunakan lagi.
Dia telah disyaki menjumpai harta karun
lalu dipanggil penguasa pasar yang sangat bijak. Dalam perbualannya, maka terbuktilah
kepada orang ramai bahawa pemuda itu adalah pemuda yang lari dari kepungan raja
pada tiga abad yang silam. Mereka mengetahui akan peristiwa itu, daripada
cerita yang masyhur dan telah disedia maklum oleh orang ramai. Larinya
pemuda-pemuda itu kerana tidak rela menjual agama mereka kepada raja yang zalim
dan memaksa mereka untuk menyembah batu.
Lalu salah seorang di antara mereka
berkata kepada pemuda tersebut: “Janganlah kamu
khuatir kepada raja ganas yang kamu katakan tadi. Raja itu sudah mati 300 tahun
yang lalu. Raja yang memerintah sekarang ini adalah seorang raja mukmin yang
soleh juga baik hati. Raja kami yang sekarang ini orangnya beriman seperti mana
yang kamu imani.”
Barulah pemuda itu sedar dan insaf akan
apa yang sebenarnya sudah terjadi. Dengan ketenangan yang amat jelas serta
dengan alasan dan bukti-bukti yang cukup terang, maka terbuktilah bahawa mereka
berada dalam gua bukan semalam atau setengah hari tetapi sudah tiga abad
lamanya.
Orang ramai kemudiannya membawa pemuda
tersebut mengadap raja beriman yang mengambil berat hal agama itu. Betapa
terkejutnya raja ketika pemuda menceritakan siapa dia sebenarnya, raja memeluk
pemuda dengan juraian air mata yang tak terhingga. Seketika suasana istana
menjadi sangat hening dan terharu oleh kehadiran pemuda yang luar biasa
tersebut.
Raja yang soleh ini kemudian
menjelaskan kepada pemuda itu bahawa raja kejam Diqyanus telah mati 309 tahun
yang lalu. Selepas mendengar kisah menakjubkan itu, raja lalu mengajak para
pembesarnya dan semua orang yang hadir berangkat ke Gua Ashabul Kahfi bersama
wakil pemuda itu, untuk menjemput dan bertemu dengan kesemua pemuda tersebut,
apalagi mereka sedang menunggu dengan kelaparan dalam gua, di samping ingin
mengetahui keadaan di gua dan untuk mendengar kisah sebenar mereka.
Setelah mereka keluar dari gua itu,
mereka disambut raja dan penduduk negeri. Raja membawa mereka ke dalam istana
dan diberinya tempat di istana yang indah itu. Tidak lama kemudian walaupun
raja berkali-kali meminta agar para pemuda ini tetap tinggal di istana, tapi
kumpulan pemuda tersebut menolak dengan baik dan tetap memilih untuk kembali ke
gua semula.
Para pemuda tadi lalu berkata kepada
raja: “Kami ini sudah tidak mengharap hidup yang
lebih panjang lagi kerana kami sudah melepasi beberapa keturunan dan kesemuanya
telah meninggal dunia, malah negeri dan binaan besar yang dahulu pun sudah
runtuh semuanya; yang kami lihat sekarang ini adalah serba baru. Kami pun puas
hati melihat raja dan penduduk yang hidup di negeri ini sudah sama-sama beriman
kepada Allah سبحانه وتعالى.”
Di hadapan orang ramai, para pemuda ini
menyarankan supaya mereka hendaklah sentiasa beriman kepada Allah سبحانه
وتعالى, jangan sesekali tunduk kepada sesiapa
yang mengajak pada jalan kesesatan dan kemusyrikan.
Tidak lama kemudian selepas mereka
memberi ucapan selamat tinggal kepada raja dan rakyatnya yang beriman itu. Para
pemuda lalu sama-sama bersujud dan berdoa ke hadhrat Allah سبحانه
وتعالى agar menurunkan rahmatNya dan agar
Allah سبحانه وتعالى mengizinkan mereka pulang
ke rahmatullah. Sejurus selepas mengucapkan doa itu mereka merebahkan badan di
tempat pembaringan lalu menghembuskan nafas mereka yang terakhir dengan tenang
dan tenteram. Termaklumlah bahawa Allah سبحانه وتعالى
telah mengambil roh pemuda-pemuda itu dan kembali kepadaNya untuk
selama-lamanya.
Keadaan dan kejadian itu, menjadi asas
yang amat kuat bagi mereka untuk tetap beriman dan tunduk kepada Allah سبحانه
وتعالى, Tuhan yang Maha Kuasa. Mereka makin
percaya bahawa janji Allah سبحانه وتعالى
itu benar belaka dan Hari Qiamat serta akhirat itupun benar semuanya.
Sepeninggalan para pemuda itu, orang
ramai lalu berbincang bagaimana cara untuk memberi penghormatan sewajarnya agar
mereka sentiasa dapat memperingati pemuda-pemuda suci itu. Ada yang
mencadangkan supaya didirikan sebuah bangunan atau tugu sebagai kenangan.
Manakala Raja mencadangkan agar sebuah masjid (rumah ibadat) dibinakan di sisi
gua itu supaya dari dalam masjid itu orang ramai dapat sama-sama menyembah dan
membesarkan nama Allah dan sentiasa insaf akan kebesaran Allah سبحانه
وتعالى.
Hal ini diceritakan Allah سبحانه
وتعالى dengan firmanNya
“Setelah itu maka (sebahagian
dari mereka) berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka, Allah سبحانه وتعالى jualah yang mengetahui akan
hal ehwal mereka”. Orang-orang yang berkuasa
atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sesungguhnya kami hendak membina
sebuah masjid di sisi gua mereka.” (Surah Al-Kahfi; Ayat
21)
PENGAJARAN DARI ASHABUL KAHFI - DIMANAKAH
HALA TUJU JATIDIRI PEMUDA BANGSA?
Dalam surah Al-Kahfi, Allah SWT
menceritakan tiga kisah masa lalu, iaitu kisah Ashabul Kahfi, kisah pertemuan
nabi Musa AS dan nabi Khaidir AS serta kisah Iskandar Zulqarnain. Kisah Ashabul
Kahfi mendapat perhatian lebih dengan ia digunakan sebagai nama surah dimana
terdapat tiga kisah tersebut. Hal ini tentu bukan kebetulan semata, tapi kerana
kisah Ashabul Kahfi, seperti juga kisah dalam al-Quran lainnya, bukan merupakan
sebuah cerita hiakyat semata-mata, tapi juga terdapat banyak pengajaran (ibrah)
didalamnya.
Ashabul Kahfi adalah kisah dimana 7
pemuda beriman yang hidup dizaman pemerintahan Raja Diqyanus (Decius). Raja Rom
yang kufur ini memerintah negaranya secara kuku besi dan zalim. Barang siapa
yang menentang pastinya seperti menempah kematian awal. Raja Diqyanus juga
memaksa rakyatnya untuk turut segala kehendaknya termasuklah untuk menidakkan
perintah Allah SWT dan berlaku murtad.
Rata-rata rakyat yang amat takutkan
azab pemerintah zalim ini terpaksa menurut segala kemahuan sehinggakan mereka
lupa kepada azab Allah yang lebih nyata. Namun begitu, Allah SWT hadirkan 7
pemuda yang berjiwa kental yang berani menegakkan panji-panji tauhid.
Keyakinan pemuda-pemuda ini kepada
agama tauhid itu akhirnya diketahui oleh raja Diqyanus. Maka dipanggilnya pemuda-pemuda
ini untuk menghadap raja. Dihadapan raja zalim ini, 7 pemuda tersebut dengan
berani dan petah berhujah mempertahankan iman dan prinsip mereka.
Biarpun Raja Diqyanus dan
pengikutnya gagal untuk menghadirkan jawapan yang pasti kepada persoalan mereka
sendiri, namun sang pemerintah itu kekal tegar untuk mengeraskan hatinya dari
mengimani kata-kata pemuda-pemuda tersebut.
Demi menjaga reputasinya, maka sang
Raja menitahkan untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap 7 pemuda tersebut.
Pemuda-pemuda tersebut lantas bertindak keluar dari kota dan menyembunyikan
diri disebuah gua di pergunungan Nikhayus.
Maka, ditakdirkan Allah SWT,
pemuda-pemuda ini tidur selama 309 tahun. Dan apabila mereka sedar, mereka
tidak lagi berada didalam sebuah kerajaan yang zalim, bahkan Allah telah
kembalikan mereka disatu masa dimana agama tauhid itu diamalkan dalam suasana
yang harmoni.
Keyakinan dan keteguhan prinsip
pemuda-pemuda Ashabul Kahfi ini bukan saja baik untuk dijadikan teladan kepada
pemuda pemudi kita pada hari ini. Bahkan mereka
layak
dijadikan contoh idola yang keras memperjuangkan kepercayaan mereka tanpa perlu
takut kepada ancaman lain.
|
No comments:
Post a Comment